Tenaga hidroelektrik merupakan salah satu
tenaga alternatif yang popular di negara-negara membangun. Tenaga ini
dapat dijalankan di negara membangun kerana adanya sungai yang mempunyai
aliran deras. Aliran sungai yang deras seperti air terjun membolehkan
tenaga elektrik yang tinggi dihasilkan, misalnya di Malaysia yang
mempunyai banyak empangan hidroelektrik seperti di Empangan Bakun,
Sarawak. Hal ini demikian kerana aliran air yang jatuh dari puncak air
terjun membolehkan turbin digerakkan dan seterusnya menyebabkan
generator elektrik menghasilkan tenaga elektrik.
Bukan itu sahaja, isipadu air yang tetap
dan banyak juga penting untuk penjanaan tenaga hidroelektrik. Isipadu
air sungai yang sedikit menyukarkan turbin digerakkan dan secara tidak
langsung menyebabkan tenaga elektrik yang terhasil adalah sedikit.
Selain itu, tenaga hidroelektrik merupakan tenaga komersial yang keempat
terbesar di peringkat global selepas minyak, arang batu dan gas. Dalam
hal ini, dapat dilihat bahawa tenaga alternatif seperti tenaga
hidroelektrik kini telah menjadi penting kepada penduduk dunia untuk
membekalkan sumber elektrik.
Tenaga hidroelektrik juga menjadi
komersial kerana tenaga ini bersih dan tidak mencemarkan udara.
Penghasilan tenaga ini tidak membebaskan gas karbon dioksida yang mampu
mencemarkan kandungan udara dan bahan radio aktif atau bahan kimia lain
yang boleh mencemarkan sungai. Hal ini berbeza dengan tenaga
konvensional seperti petroleum yang mampu mencemarkan kandungan udara
sekeliling ketika penghasilan minyak. Tenaga hidroelektrik juga telah
menjadi komersial kerana tenaga ini selamat digunakan dan sangat efisien
kepada pengguna.
Di samping itu, tenaga hidroelektrik
banyak dijana di negara-negara membangun kerana kebanyakan sungai di
negara ini sentiasa mengalir sepanjang tahun. Hal ini membolehkan
tenaga elektrik sentiasa dapat dijana setiap masa. Tenaga hidroelektrik
sukar dijana jika aliran sungai tidak berlaku sepanjang tahun. Selain
itu, negara-negara membangun juga memiliki banyak tempat strategik untuk
membina empangan hidroelektrik. Hal ini membolehkan tenaga
hidroelektrik banyak dijana di negara tersebut. India merupakan salah
satu negara yang banyak menjana tenaga hidroelektrik.
Tambahan lagi, tenaga hidroelektrik juga
amat murah untuk dijanakan. Oleh sebab itu, negara-negara membangun
banyak menjana tenaga ini kerana hal ini bersesuaian dengan keadaan
kewangan negara membangun yang masih belum begitu kukuh. Sebaliknya,
penjanaan hidroelektrik ini mampu memberikan pulangan yang agak lumayan
kerana tenaga ini merupakan salah satu tenaga yang komersial di dunia.