Saturday 21 April 2012

TENAGA HIDROELEKTRIK

Tenaga hidroelektrik merupakan salah satu tenaga alternatif yang popular di negara-negara membangun.  Tenaga ini dapat dijalankan di negara membangun kerana adanya sungai yang mempunyai aliran deras.  Aliran sungai yang deras seperti air terjun membolehkan tenaga elektrik yang tinggi dihasilkan, misalnya di Malaysia yang mempunyai banyak empangan hidroelektrik seperti di Empangan Bakun, Sarawak.  Hal ini demikian kerana aliran air yang jatuh dari puncak air terjun membolehkan turbin digerakkan dan seterusnya menyebabkan generator elektrik menghasilkan tenaga elektrik.
 Bukan itu sahaja, isipadu air yang tetap dan banyak juga penting untuk penjanaan tenaga hidroelektrik.  Isipadu air sungai yang sedikit menyukarkan turbin digerakkan dan secara tidak langsung menyebabkan tenaga elektrik yang terhasil adalah sedikit.  Selain itu, tenaga hidroelektrik merupakan tenaga komersial yang keempat terbesar di peringkat global selepas minyak, arang batu dan gas.  Dalam hal ini, dapat dilihat bahawa tenaga alternatif seperti tenaga hidroelektrik kini telah menjadi penting kepada penduduk dunia untuk membekalkan sumber elektrik.
Tenaga hidroelektrik  juga menjadi komersial kerana tenaga ini bersih dan tidak mencemarkan udara.  Penghasilan tenaga ini tidak membebaskan gas karbon dioksida yang mampu mencemarkan kandungan udara dan bahan radio aktif atau bahan kimia lain yang boleh mencemarkan sungai.  Hal ini berbeza dengan tenaga konvensional seperti petroleum yang mampu mencemarkan kandungan udara sekeliling ketika penghasilan minyak.  Tenaga hidroelektrik juga telah menjadi komersial kerana tenaga ini selamat digunakan dan sangat efisien kepada pengguna.
Di samping itu, tenaga hidroelektrik banyak dijana di negara-negara membangun kerana kebanyakan sungai di negara ini sentiasa mengalir sepanjang tahun.  Hal ini membolehkan tenaga elektrik sentiasa dapat dijana setiap masa.  Tenaga hidroelektrik sukar dijana jika aliran sungai tidak berlaku sepanjang tahun.  Selain itu, negara-negara membangun juga memiliki banyak tempat strategik untuk membina empangan hidroelektrik.  Hal ini membolehkan tenaga hidroelektrik banyak dijana di negara tersebut.  India merupakan salah satu negara yang banyak menjana tenaga hidroelektrik.
 Tambahan lagi, tenaga hidroelektrik juga amat murah untuk dijanakan.  Oleh sebab itu, negara-negara membangun banyak menjana tenaga ini kerana hal ini bersesuaian dengan keadaan kewangan negara membangun yang masih belum begitu kukuh.  Sebaliknya, penjanaan hidroelektrik ini mampu memberikan pulangan yang agak lumayan kerana tenaga ini merupakan salah satu tenaga yang komersial di dunia.

Sunday 15 April 2012

TEKANAN DARAH TINGGI

Tekanan darah tinggi adalah satu keadaan di mana tekanan yang dikenakan oleh darah terhadap dinding arteri atau saluran darah anda lebih tinggi dari yang sepatutnya dan akhirnya menyebabkan pelbagai ancaman kesihatan seperti strok dan sakit jantung. Tekanan darah ditentukan oleh kuantiti darah yang dipam keluar oleh jantung dan had pertahanan dinding saluran darah terhadap aliran darah. Jika terdapat semakin banyak darah yang dipam keluar daripada jantung dan arteri yang menjadi semakin sempit, maka seseorang itu lebih cenderung untuk mendapat tekanan darah tinggi.
Seseorang itu boleh mempunyai tekanan darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedarinya. Ini adalah pada peringkat awal, tekanan darah tinggi tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas. Masalah tekanan darah tinggi yang tidak dirawal akan meningkatkan risiko kesihatan yang ketara, khasnya serangan sakit jantung.
Tekanan darah tinggi biasanya mengambil masa selama bertahun-tahun untuk berkembang sampai tahap yang boleh dikesan. Pada akhirnya, masalah hipertensi boleh dikatakan boleh mempengaruhi hampir semua orang. Sungguhpun begitu, tekanan darah tinggi boleh dikesan dengan mudah. Jadi, ia adalah sangat penting bagi anda supaya melakukan pemeriksaan badan setiap tahun. Jika anda ketahui bahawa anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda harus bekerjasama dengan doktor anda untuk mengawal masalah tersebut.